Berulang kali aku duk baca petikan ni...nak kena cari buku dia ni...
DIJADIKAN IKTIBAR SERTA RENUNGAN
Memetik kata-kata Bob Loqman, 47, dalam bukunya yang bertajuk Aku, Isabella dan Tok Kenali: “kita yang sentiasa dalam kesibukan dengan nikmat dan candu dunia kadangkala terlupa bahawa kita setiap hari diziarahi malaikat maut. Maut yang tidak mengenal usia, bukan syarat tua atau muda.’ Rintihnya lagi: ‘masa untuk menangis sudah tiba selepas panjang masanya aku ketawa.’
Bob atau nama penuhnya, Muhammad Hakim Loqman, yang kini berada dalam ‘alam baru’ kehidupannya, tidak pernah mengatakan menjadi anak seni itu salah, namun keadaan sekeliling boleh ‘melemas’ dan ‘menenggelamkan’ mereka menjadi alpa pada janji mereka kepada Yang Maha Esa.
Sejak kecil Bob diasuh dengan ilmu agama yang secukupnya. Meningkat usia remaja, dihantar ke sekolah Arab, Maahad Hamidiah di Kajang dan menghabiskan pengajian hingga ke peringkat Empat Senawi. Menyedari ada yang memandang sinis dengan perubahan hidupnya itu, Bob tidak berkecil hati sebaliknya terus memanjatkan doa agar Allah SWT menetapkan hatinya.
Rabu lalu, wartawan SELEBRITI, NOR AKMAR SAMUDIN, bertandang ke kediamannya di Saujana Akasia, Sungai Buloh. Bob dengan nada yang cukup tenang menceritakan lembaran baru hidupnya.
KESEDARAN paling besar untuk berubah datang ketika saya terlantar di hospital, menjalani pembedahan dalam perut akibat ulser. Bersebelahan katil saya ada seorang pesakit. Siangnya dia ceria, lalu saya berbual-bual dengannya. Pada sebelah malamnya dia sudah tiada, pergi buat selama-lamanya. Ya Allah! 'Aku pula macam mana? Entah bila pula aku akan menyusulnya'. Perasaan cuak dan takutkan kedatangan maut membuatkan hati tidak tenteram. Persediaan saya untuk menghadap Allah SWT, belum cukup, semuanya serba kekurangan. Tiba-tiba saya teringat, apa gunanya rumah dan kereta besar kerana bila mati kita akan tinggalkan segala di dunia ini melainkan kain kapan dan amalan yang baik. Kejadian itulah menjadi titik baru dalam hidup saya. Setiap orang mesti melakukan perubahan dalam hidup dan perubahan yang berlaku pada saya terjadi secara perlahan-lahan iaitu sejak tiga tahun lalu tetapi tiada yang tahu. Selain peristiwa yang saya ceritakan tadi, saya mula terasa hendak berubah selepas berkahwin kali kedua (Norelawati Daud, 33). Perkahwinan pertama saya hanya bertahan enam tahun. Kemudian saya hidup menduda selama enam tahun, barulah bertemu jodoh semula dengan isteri baru ini. Tetapi ketika itu saya masih berlakon dan rasa untuk berubah itu tidaklah begitu kronik. Kemudian saya diserang penyakit ulser sehingga saya terpaksa dibedah. Keadaan itu membuatkan hati saya semakin kuat mencari hala tuju yang betul dalam hidup ini.
Selepas menghadapi kematian pesakit sebelah katil dan penyakit saya pulih, saya mula mendaki tangga masjid dan mendengar kuliah agama. Daripada situ saya berjumpa ramai ustaz dan mendalami ilmu agama dengan mereka. Perlahan-lahan saya masuk tarikat dan menyertai pergerakan Islam. Sejak itu, orang mula panggil saya mengajar dan memberi ceramah agama walaupun ilmu di dada belum cukup. Namun ustaz-ustaz yang saya berguru dengan mereka menggalakkan saya menerima jemputan itu kerana kata mereka sambil belajar dan mengajar, Allah SWT akan menambahkan ilmu kepada kita. Untuk berubah ke arah kebaikan bukan senang, banyak rintangan. Apabila saya mengambil keputusan berhenti berlakon, bapa saya pun risau, bimbang anak isteri saya tak makan. Dugaan datang lagi, tiba-tiba tawaran berlakon datang mencurah dan kalau dicongak bayarannya dalam RM48,000. Alhamdulillah, saya mendapat isteri yang memahami perjuangan saya dan minta saya menolak tawaran itu. Kemudian masalah lain pula datang apabila rumah yang saya diami sekarang kena potong bekalan elektrik.
Tawaran berlakon datang lagi. Sekali lagi isteri mengingatkan niat saya untuk berubah dan hampir seminggu kami bergelap. Saya juga bercadang menjual banglo ini yang dibeli ketika saya masih berlakon kerana tidak mampu duduk di rumah besar ini. Saya merancang dengan wang hasil jualan banglo ini saya akan membeli sebidang tanah di pinggir kota, buat rumah dan tinggal di sana. Dapatlah saya belajar agama dan berzikir untuk menguatkan iman. Namun Allah SWT itu sudah menyediakan ‘perancangan’ lain untuk saya di mana selepas itu saya mendapat banyak jemputan mengadakan ceramah, menjual buku, kitab dan apa saya yang halal untuk menyara anak isteri. Alhamdulillah, Allah SWT memberikan rezeki dari jalan yang diredai-Nya dan saya sekeluarga dapat terus menetap di banglo ini. Sekarang saya berceramah di seluruh negara mengajar ilmu Tauhid dengan mengambil contoh kehidupan saya sendiri. Apabila saya ingin mengubah cara hidup, saya tak kata bidang lakonan itu salah. Apa yang salah adalah rencah-rencah di dalamnya. Sebaik saja kita keluar rumah tengok perempuan tidak bertudung sudah berdosa tetapi masyarakat menganggap ia perkara biasa dan bukan kesalahan besar. Bertudung adalah wajib.
Saya tak salahkan pelakon tetapi keadaan sekeliling menjadikan bidang lakonan itu nampak tidak betul. Disebabkan itu, saya tidak boleh meneruskan kerjaya lakonan kerana timbul konflik dalam diri. Saya belajar agama tetapi masih hendak berlakon dan pada waktu sama, saya tak tahu sama ada rezeki yang saya dapat itu halal atau haram. Apabila kita tidak pasti kedudukan rezeki yang kita dapat itu, macam mana ia dikira syubhah iaitu perkara yang tidak diketahui hukumnya oleh orang ramai, yang masih samar-samar halal atau haramnya. Ada kala tiba waktu solat, produksi masih membuat penggambaran, jadi di manakah keberkatan rezeki yang kita cari? Pada bulan puasa pula, ramai yang mengabaikan tanggungjawab mereka. Dalam usaha membentuk diri sendiri ke jalan kebaikan, kita kena mencorakkan masyarakat sekali. Misalnya, saya tak boleh melarang anak-anak saya daripada bercampur gaul dengan masyarakat. Jadi kita kena mengajak sama masyarakat untuk berubah, barulah kita akan mendapat persekitaran yang sihat kerana kita saling menyokong ke arah kebaikan. Apabila belajar, saya kena beramal dengannya. Sejak kecil saya memang sudah ada asas agama. Apabila kita belajar ilmu Allah SWT, kita akan tahu kenapa kita dilahirkan dan apa janji kita pada-Nya. Saya berdakwah di serata tempat termasuk ke sarang judi dan tempat orang main burung. Saya ke sana tidak lama, dapat bercakap sekejap dengan mereka pun jadilah. Saya akan bercakap mengenai hidup dan mati kerana setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Barangkali ada yang mempersoalkan sejauh mana perubahan saya ini akan berkekalan. Pada saya itu semua kuasa Allah SWT, untuk berbuat kebaikan pasti datang godaan. Justeru kita kena berusaha menguatkan iman di dada. Seiring dengan perubahan, pasti ada ujian-Nya. Pun begitu Allah SWT akan memberi ujian kepada setiap hamba-Nya mengikut kemampuan mereka tetapi ramai yang tak tahan, tak sabar dan tidak reda. Artis misalnya, asyik menjadi perhatian masyarakat sekeliling. Tak seronoklah kalau hanya memandu kereta kecil, hendak juga melaram dengan kereta mewah. Godaan yang macam itulah ada sesetengah artis yang sudah berubah gagal mempertahankan iman mereka. Iblis dan syaitan akan terus memainkan peranan mereka. Semuanya berlaku kerana terlalu mengikut kehendak duniawi dan terpaksa patuh kepada pandangan masyarakat.
Jangan jadikan rumah besar dengan pagar tinggi satu kemegahan kerana rumah yang berkat apabila tetamu boleh datang sampai ke muka pintu rumah kita-aku suka statement ni... Untuk menambahkan lagi keberkatan itu, apabila ada kelapangan ajaklah rakan dan jiran tetangga bertandang ke rumah serta jamu mereka dengan rezeki yang kita ada. Sekiranya tidak sibuk, saya mengadakan tazkirah di rumah dengan mengajak jiran berdekatan mendengarnya sebagai saling ingat mengingati. Ada juga artis yang datang mendengar ceramah saya di masjid di mana saya pernah nampak Adam AF dan Wahid Senario. Apabila M Rajoli meninggal dunia, ramai pengarah drama mahu saya menggantikan tempat Allahyarham. Ilmu agama M Rajoli sangat hebat dan saya belum sampai ke tahap itu. M Rajoli terus berlakon kerana imannya sangat kuat dan mampu menepis segala godaan duniawi. Saya pula perlu belajar lagi untuk menguatkan keimanan saya terhadap Allah SWT. Saya tidak memandang rendah kepada sesiapa pun kerana urusan ibadah kita, hanya Allah SWT yang tahu-ingatan pada diri aku jugak... Rahmat Allah SWT terhadap hamba-Nya sangat luas dan kita tidak mampu membalasnya. Nikmat bernafas dan mata melihat pun sudah cukup besar. Kita mesti belajar mengenali Allah SWT dan barulah kita berasa takut dengan-Nya. Sebenarnya sejak dulu, saya tak minat berlakon tetapi saya terpaksa melakukannya demi mencari rezeki. Saya juga menulis lirik lagu dan pernah dapat royalti hampir RM100,000. Tetapi selepas kemunculan ramai penulis lirik, saya tinggalkan bidang itu. Kini, semua yang saya lakukan dulu tinggal sejarah. Mengenai Awie yang melahirkan rasa tidak puas hatinya pada saya baru-baru ini, saya tak marah. Kami kawan lama dan Awie seorang yang sangat baik hati. Emak bapa dia pun orang baik-baik. Apabila saya berubah, saya mahu mengajak Awie sekali kerana saya sayangkannya. Apabila kita menganjur atau mengadakan konsert, banyak dosanya.
Jadi saya mahu mengajak Awie belajar agama dengan guru agama bertauliah berpandukan al-Quran dan kitab lama di Shah Alam. Tetapi Awie tidak jawab panggilan saya sehinggalah ceritanya keluar dalam akhbar. Saya tak kisah dan saya pasti kalau berjumpa dengannya nanti, kami tetap boleh ketawa bersama. Bukan saja Awie malah ada juga ustaz yang memperlekehkan perubahan saya ini, jadi apalah sangat saya hendak ambil hati dengan komen Awie itu. Berjuang untuk agama tidak semestinya kita terpaksa mengangkat senjata tetapi ia adalah perjuangan hati. Saya dalam proses menulis buku Mendaki Nafsu yang sudah siap 30 peratus. Ia cerita mengenai perjuangan manusia menukar nafsu amarah ke nafsu kamil (kebaikan).
Kalau kita hendak tahu sama ada hidup kita di dunia ini berkat atau tidak, tengoklah siapa yang datang pada hari kematian kita dan siapa yang menghantar kita ke kubur.
Mungkin ramai yang ‘menghantar’ tetapi dalam ramai itu, ada juga yang tidak tahu membaca al-Fatihah. Jadi, macam mana mereka mahu sedekahkan al-Fatihah kepada si mati. Kita menziarahi orang mati untuk mengambil iktibar. Kita mahu ke ke syurga Allah SWT yang tiada ternilai itu dan bukan ke neraka-Nya yang menyediakan seksaan amat berat. Justeru, bersedialah secukupnya sebelum kembali ke sisi-Nya.”
Wassalam.
renungan yang penuh bermakna dan bermanafaat untuk kita mengenali diri kita dulu dan sekarang.
BalasPadambila nak ajk kita dtg umah lagi... hahaha
BalasPadamsuka x statement ni... kihkih
tq for sharing t
BalasPadam