20 Oktober 2020

Tauhu Berlauk

 Assalamualaikum.

Ehhh rajinlah kita...senyum sampai telinga puji diri sendiri. Kalini aku nak share resepi aku ambil dekat facebook. Aku tengok kawan aku share, lepas tu aku pulak share dengan harapan bila rajin nak buatlah.  Dua tiga hari lepas tu aku tengok adik ipar share dekat ig dia, buat tauhu berlauk ni. Dan respon dia, sedap sangat. Huishhh tak sabar aku nak mencuba. Jomm gi CS cari barang.

Kalau ikutkan, dah 2 kali aku cuba resepi ni. Yang pertama aku guna kan isi ayam. Kali kedua tu aku tukar guna daging. Dua-dua pun sedap!

Aku kongsi resepi untuk rujukan aku sendiri atau manalah tahu yasmin atau qaseh nak buat nanti, diaorang dah tahu nak cari kat mana.

Bahan-bahannya:

Tahu telur - 3 bunjut

Tahu keping - 3 keping

Telur - 3 biji

Isi ayam atau daging

Semua bahan kat atas tu, aku blend menggunakan blender kering. 

Tambah lada sulah dan garam.

Bawang besar - 1 biji potong dadu

Carrot - 1 batang potong dadu

Daun sup atau daun ketumbar - racik halus.



Dah blend bahan-bahan yang mula-mula tadi, satukan dengan bawang dan carrot dan juga bahan lain. Kalau rasa nak tambah garam pun boleh lagi.

Gunakan bekas kuih lompang atau acuan kuih nona manis untuk kukus bahan-bahan tadi. Kena kukus dulu dalam 15 minit.



Lepas tu, celup dalam telur dan goreng dalam minyak panas.

Makan dengan sambal cili kicap, masa panas panas...perghhh tak ingat dah makan berketul-ketul. 


Anak aku Adam Danial suka. Selalu tanya bila nak buat lagi. Sikit leceh nak buat tauhu berlauk ni sebab kena kukus dulu kemudian kena goreng. Leceh lah juga bagi aku. Banyak perkakas nak basuh!!! Hahaha...malas sangat tu kan.

Sekian perkongsian resepi tauhu berlauk dari aku. Aku dah 2 kali buat. Memang sedap. Ehhh banyak kali dah aku cakap sedap!!

Terima kasih datang baca.

Jangan lupa, kita jaga kita.

Psst...dah follow ke youtube channel kita, keluargayatizul? 




Sambal Ikan Tenggiri

 Assalamualaikum.

Selalu bagi janji manis kan...tak baik sungguh. Tahap malas nak menulis ni dasyat sungguh. Tak boleh bawa bincang dah.

Sekarang dah PKPB 2 kan. Hari-hari kes naik mencanak-canak. Aku ni dah berapa minggu tak keluar pergi beli barang rumah. Sebab sekarang banyak kes berpunca dari mall kan. Sis is takut!  Sama-sama kita duduk rumah ya. Putuskan rantaian covid!

Haritu aku ada beli ikan tenggiri dari mini mart kat Mantin. Mini Mart ni kakak aku punya. Sebagai sokongan aku belilah ikan kat kedai dia haritu. Kalau ikutkan, aku jarang sangat nak beli ikan tenggiri ni. Bagi aku, ikan tenggiri ni makanan orang kayangan. Akak ni rakyat marhaen aje.

Aku mampu buat sambal ikan tenggiri je lah. Tak adalah resepi kebabom mana pun. Penghuni kat rumah aku pun suka makan lauk sambal, jadi sesuai sangatlah aku buat sambal ikan tenggiri kan...


Macam nilah hasil sambal ikan tenggiri aku.

Tak payahlah aku share resepi kan. Sebab yang baca blog aku, kebanyakannya chef-chef yang memang pejam mata je masak sambal ni. Ehhh...chef ke yg datang baca???

Ok tu aje perkongsian aku untuk hari ni. Kalau rajin nanti aku cuba kongsikan lagi. 


Jangan lupa, sentiasa basuh tangan, jaga jarak sosial. Kalau tak ada urusan penting, lebih baik duduk rumah.

Terima kasih datang baca.


21 September 2020

Jenguk kejap

 Assalamualaikum.

Lamanya tak bersiaran. 

Ada je cerita nak dikongsikan, tapi entah kenapa vitamin 'M' macam dah melekat kuat...alasan kan.

Malam ni tiba-tiba teringat dah lama tak menjenguk ke sini. Jalan-jalan Johor pun tak habis😬. Cerita raya haji pun tak update lagi. Anak sedara bertunang, jalan-jalan Terengganu kita masih berlegar-legar dalam kepala ni. Ohh ya...anakanda Adam Danial operation pun nak kena masuk kan juga.

In sha Allah ya, satu-satu aku cuba kongsikan. Masih lagi bekerja dari rumah, baru beberapa kali masuk ofis. Kita masih belum menang melawan covid19. Terus kan jaga penjarakkan sosial ya. 

Jumpa lagi. Terima kasih datang baca


11 Julai 2020

Jalan-jalan Johor part 2

Assalamualaikum

Bersiaran lagi harini sebab ada sedikit kerajinan untuk mengupdate blog kesayangan aku yang sendu ni. Entry sebelum ni agak boring sebab tak ada gambar kan...aku yang menaip ni pun acah-acah bosan juga nak baca semula. Tapi hari kedua di Johor, In sha Allah ada gambar😉.

Memang kita dah plan awal pagi nak keluar untuk bersarapan kacang pool di Kacang Pool Haji di Masai. Boleh tahan jauh juga dari Pasir Gudang nak ke Masai. Dalam 30 ke 45 minit perjalanan. Kali ini kami bergerak dalam 2 kereta. Jom sarapan dekat Kacang Pool Haji!


Sampai sudah. Tapi yang ni bukan dekat dengan Balai Bomba Masai. Ni arah kebelakang sikit. Sebenarnya anak saudara aku dah terlajak, sekali bila nak pusing tengok ada kedainya pula. Teruslah kitaorang singgah. Masa ni orang agak ramai, jadi kena beratur. Dekat sini masih mengamalkan penjarakan sosial. 

Selain dari kacang pool, ada macam-macam menu sarapan lain juga. Tapi dalam kepala aku dah fokus nak makan kacang pool, jadi kita teruskan matlamat kita. Jangan ikut nafsu!
Ada juga soto dan lontong kering. ABC pun ada.  Ada yang order nasi goreng juga.

Ni masa baru sampai. Allahuakbar...sedap sangat. Puas hati dapat makan kacang pool ni dekat Johor. Sebelum ni ada je aku beli kat pasar tani rumah aku ni. Tapi perasaan dapat makan dekat negeri asal kacang pool tu...lain ok😊. 
Alhamdulillah, mangkuk masing-masing licin! Sedap! Pergilah makan...tak rugi.
Dah kenyang barulah boleh posing. Senyum sampai telinga! Sebenarnya masa ni memang ramai sangat orang, kitaorang pun duduk meja jauh-jauh...sentiasa ada je orang beratur tunggu nak duduk. Kalau ikutkan depan kedai tu diaorang sediakan satu rumah khas tempat makan. Seberang jalan aje. 

Dah kenyang, jom terjah destinasi seterusnya.
Kalini macam mengarah ke bandar Johor. Kakak aku nak cari roti dan kek pisang yang dibakar menggunakan arang. Ni sebab terpengaruh dengan vivy yusof! Kita ikutkan aje.

Gambar kat kedai roti tu tak ada. Sebab masa tu hari dah nak hujan. Ngam-ngam kitaorang habis beli, hujan turun dengan lebatnya. Jadi kita terus ke rumah kawan kakak aku dekat Bandar Baru Uda kalau tak silap aku. Ke aku memandai aje...tak ingatlah...sepatutnya kitaorang akan makan tengahari dekat rumah kawan kakak aku ni, kita plan nak sampai rumah dia dalam pukul 12.30 mulanya, sekali dah hujan, terus jelah kerumah dia. Sampai dalam pukul 11 lebih.  Jauh juga dari Johor berpatah balik ke rumah kawan dia ni.


Kawan kakak aku ni tauke biskut raya kat Johor. Rumah dia besar dan cantik. Kalau dah teror buat kuih, masak apa tah lagi. Sedap gila asam pedas dia. Tapi ahkak control lah tak tambah pun...kan lebih baik berhenti sebelum kenyang...gituu...

Lepas makan, solat dulu, baru gerak meninggalkan rumah dia. Tu pun dia siap bekal kan kuih raya lagi. Jenama biskut dia Amber!
Nanti korang cari ya. Dari sini kemana pula kita??

Kalau dah sampai sini tak sah kalau tak singgah kat JPO. Singgah cuci mata je. Nak masuk kena register. Kanak-kanak bawah 12 tahun tak boleh masuk. Mujur qaseh nampak tinggi sikit, lepas lah dia. Mula tu cuak juga kalau tak lepas masuk. Warga emas lebih 60 tahun pun tak boleh masuk. Cucu sedara aku menangis tak dapat masuk. Ayah dialah tunggu dan gilir-gilur masuk. Masuk pun bukan beli apa, kebanyakan kedai beratur nak masuk. Satu kedai limit 5 orang je masuk satu-satu masa. Last-last kitaorang duduk lepak kat cafe.

Dari JPO kitaorang meneruskan misi mencari makanan viral di Johor. Terus ke kampung Melayu Majidee nak cari murtabak special dengan ABC Special. Susahnya kat sini nak parkinglah. Sudahnya bungkus saja. 

Demi menunaikan permintaan kakak aku nak makan mee rebus lan janggut, anak dia usahakan lah juga mencari, tapi aku tak ingat nama tempat tu. Haishhh faktor usia sungguh...
Dua kali lah pusing kat area yang google kata tempat lan janggut berniaga, kalau ikut google masa tu dia 'open' dah..tapi tak jumpa. Kali kedua pusing tu aku siap tanya kat peniaga lain, gerai lan janggut kat mana? Diaorang kata dah lama tak meniaga sebab dia operation...oohhh..tak sihat rupanya. Puashatilah juga tahu yang orang tu tak meniagakan. Kalau tak duk pusing cari ntah berapa kali lepas tu mesti tertanya tanya kenapa tak jumpa, kan....

Dah hampir maghrib juga kita orang sampai rumah anak sedara aku kat Pasir Gudang. Terus makan murtabak dan otak-otak(lupa nak bagitahu beli otak-otak juga). Sedut ABC special. Tulah makan malam kitaorang. 

Lepas tu sambut birthday abang ipar aku. Kiranya kakak aku buat surprise lah!

Ni gambar murtabak spesel tu. Besar. Masa bungkus tu boleh lipat dua.
ABC spesel
Birthday cake surprise abang ipar aku. Kek ni aku dah tak larat nak makan. Kekenyangan weiii...syukur alhamdulillah. 

Selesai hari kedua jalan-jalan ke Johor. Esok nak balik dah. Tapi ada je tempat viral kita nak terjah lagi. Tungguuu

Terima kasih datang baca.







 

10 Julai 2020

Jalan-jalan Johor Bahru

Assalamualaikum...bersiaran lagi di alam maya ni. Sekarang dah masuk fasa pemulihan. Harap-harap segeralah hilang wabak covid ni dari dunia ini. Aku masih lagi bekerja dari rumah. Sepanjang tempoh PKP ni, baru sekali masuk ofis.

Masya Allah...penangan covid, berpusing-pusing aku jalan nak masuk ofis, berpusing jalan nak membeli makanan tengah hari!  Mujur tak sesat...hehehe...Dalam mrt ada juga yang tak mengamalkan penjarakan sosial. Rileks aje duduk dekat-dekat. Aku ok je, memang sebelum ni pun pergi balik berdiri. Disebabkan dah lama duduk rumah, rasa sangat letih lepas balik dari kerja tu. Lenguh kaki dan sakit-sakit badan aku.
Lepas isyak terus hilang dari radar. 

Aku bukan nak cerita pasal covid pun, tapi disebabkan covid ni, macam-macam peraturan baru yang perlu kita patuhi. Contoh macam ofis aku, sekarang ni kalau nak bercuti atau nak balik kampilung kena laporkan pada pihak berkenaan. Bukan diaorang tak bagi bercuti atau balik kampung, cuma diaorang nak monitor keberadaan kita.  Itu aje. Macam aku baru ni bercuti ke Johor, kenalah isi form dan update pihak berkenaan. Lepas tu update boss aku juga. Semuanya atas talian aje. Senang!

Kalini aku bercuti dengan kakak-kakak aku. En suami tak dapat nak ikut sebab kerja. Jadi, kakak akulah jadi driver aku dengan anak-anak. 
Aku bertolak lepas asar dalam pukul 5.15 petang. Kitaorang gerak asing-asing, dan jumpa di rnr Ayer Keroh waktu maghrib.
Kalau ikutkan semua ada 3 kereta dengan 12 orang. Angah aku yang dari Mantin bertolak lepas isyak aku rasa, sebab tunggu anak dia balik kerja. 

Dekat Johor, kami tidur di Pasir Gudang rumah anak saudara aku yang baru berkahwin Februari haritu. 
Aku nak tunjuk gambar jamm dekat senawang, rupanya dah tak ada dalam simpanan.

Dalam 8.30 malam kitaorang gerak dari ayer keroh. Aku memang tak drive sebab mata aku memang silau tahap melampau. Sampai rumah anak sedara aku dekat sana dalam pukul 11 malam juga. Isteri dia gorengkan kue tiow. Aku dah nampak bantal dengan tilam aje. Tak lalu dah nak makan-makan ni. Tapi demi menghargai penat lelah tuan rumah, makanlah juga sikit😉.

Tu lah cerita perjalanan hari pertama aku ke Johor selepas PKP.

Terima kasih datang baca. Nanti aku sambung hari kedua di Johor. Pergi sarapan kacang pool, misi mencari mee rebus lan janggut, abc spesial dan murtabak special. Terbaik semuanya.

Nanti intai-intai blog sendu aku ni ya.


06 Jun 2020

Admitted Part 2 dan Hasilnya...

Assalamualaikum.

Cepat-cepat kita sambung part 2 ya. Biasa kalau part by part ni, posting aku mesti ke laut dalam. Selalu gagal nak update part seterusnya.

Ok. Harini adalah hari mendebarkan. 2 June 2020. 
Dalam pukul 9 lebih macam tu, aku pergi buat eco dulu. Kan semalam pakar jantung dah datang. So pagi tu juga buat test nak tengok ketebalan jantung aku sebab dah lama sangat makan ubat darah tinggi. Alhamdulillah semua ok dan cantik. Tak ada yang perlu dirisaukan. Balik bilik dan berehat.

Sebelum pukul 2 petang, en suami dibenarkan datang melawat sebab doktor nak jumpa dan explained apa yang perlu. Dapatlah jumpa sekejap. Nak peluk-peluk tak boleh sebab kat hospital. Salam pun tak, cuma minta maaf jelah yang mampu.


Ni aku dah siap siaga nak pergi ke 'medan perang'...hahaha...berperanglah sangat kan.
Masa kat dalam bilik OT tu, semua staff nurse dan pakar bius adalah non muslim. Jadinya aku siap-siap mengucap dan selawat sebelum hilang dari radar. Masa dah dekat-dekat nak 'hilang' tu, aku dengar nurse kata tangan aku kat tempat yang nak masuk drip tu bengkak. Last sekali aku dengar salah sorang nurse yang non muslim tu sempat cakap kat aku, mengucap! Lepas tu aku dah kat mana tak tahulah. Sedar-sedar mamai yang teramat. Tak boleh nak buka mata. Sampailah aku ditolak balik ke ward, masa tu dah hampir maghrib. Jiran sebilik aku tu siap cakap, lamanya kak...saya ingat darah tinggi akak naik! Bayangkan dari pukul 2, balik ward dekat pukul 7.  Lama tu... Lepas tu handphone aku, nurse yang tolong simpan kan. Lepas pukul 8 baru dapat video call dengan anak-anak dan kakak-kakak aku. Tu pun sekejap aje sebab masih mamai. Dengan laparnya...bayangkan dah start puasa dari pagi tu, tak makan tengahari. Tak makan malam. Sis is lapar ok. Nurse kata belum boleh makan lagi...aduhhh...minum air kosong aje! Sadisss


Nampak tak tu, tambahan tempat baru untuk drip. Yang nilah diaorang buat kat dalam OT. Aku rasa kalau aku sedar mahunya sakit ni. Tapi dah hilang ntah ke mana, redho jelah bila sedar ada dua tempat untuk drip. Kau rasa...

Nampak tak bengkak tu...sakit tau! 3 kali tuam pun tak hilang sakit. Nurse bagi ice pack dan cream sapu untuk tuam dan hilangkan bengkak.


Nilah hasil dari operasi yang lebih 3 jam tu. Besar-besar...dah macam batu jalan. Patutlah sakit guling-guling. Lepas operation tu, tidur lagi semalam kat hospital. Esoknya baru boleh balik. Sekarang aku dalam proses berpantang. Doakan aku cepat sembuh ya. Korang juga, teruskan duduk rumah, kita jaga kita. Jaga kesihatan juga.

Terima kasih kerana datang baca. Youtube channel 'keluargayatizul' jangan lupa subscribe ya. 


05 Jun 2020

Admitted Part 1

Assalamualaikum.

Alhamdulillah harini diberi kelapangan untuk mengupdate blog sambil berehat-rehat dirumah. Berehatlah lepas selemat menjalani operasi membuang batu karang dan hempedu. Jadi sekarang aku tak ada hempedu. Penting ke hempedu tu? Mahunya tak penting, setiap yang Allah jadikan mesti ada kepentingannya, betul tak? 

Apa fungsi hempedu tu? Selama ni tak kisah pun pasal hempedu kat dalam tu kan. Salah satu fungsi hempedu yang aku ingat masa doktor terangkan haritu, menapis segala minyak dan lepas supaya tidak meluncur laju masuk ke usus. Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh google ya.

Bila kejadian dan kesakitan tu? Aku sakit sehari sebelum raya haritu. Sakit yang tak boleh nak cakap macam mana. Sakit dekat ulu hati, sampai ke belakang. Sampai muntah baru hilang sakit tu. Mulanya ingatkan gastrik, masa raya pertama tu kena lagi. Masa tu tengah beraya kat rumah kakak aku dekat Desa Pandan. Mujur masa tu ada Tok Der Bad, dia baca-baca selawat lepas tu konon tarik angin tu, hilanglah pula...hahaha...aku minum air panas kosong aje. Lega kita terus beraya.

Esoknya pula, angin tu datang lagi. Dahlah kat rumah ada tetamu. Aku menonggeng sakit kat dalam bilik.  Tuhan saja yang tahu. 

Raya ketiga baru aku pergi hospital. Pergi emergency je. Doktor check, masuk air. Ambil darah. Doktor kata semua ok tapi dia tetap rujuk pada doktor pakar. 

Lepas buat temujanji maka bertemulah empat mata dengan doktor kat hospital. Dia terus suruh buat ultrasound dengan ambil darah lagi. Masa ni doktor dah suruh masuk ward, tapi aku tak sempat nak buat covid test, procedure hospital, kalau nak admit kena buat covid test! Jadi nak tak nak, aku kena juga buat covid test tu. Sis is seram ok. Aku buat covid test esok harinya. 

Seawal 8.30 pagi aku dah sampai hospital. Tunggu sekejap terus nama kena panggil untuk buat test yang mendebarkan tu. Mujur doktornya lemah lembut dan baik. Dia kata jangan gerak-gerak kalau gerak tu yang buat sakit. Jadi sis keras kejung je masa test tu. MasyaAllah test tu sekejap sangat, dalam 5 minit tak sampai rasanya. Dah siap!  Alhamdulillah aku tak rasa sakit pun.

Selesai semua, 1hb June yang lepas, kena mendaftarkan diri pula untuk masuk ward. 7.30 pagi dah sampai hospital. En suami hanya boleh hantar sahaja. Tak boleh melawat atau temankan di musim PKP ni. 

Baru check in dah terus buat ct scan. 1st time buat ni. Adik yang jaga bahagian ni pun sangat baik dan lembut aje bercakap. Satu-satu dia terangkan. Akan masuk sejenis macam pewarna tapi akan buat satu badan macam panas pedih gitu. Satu badan ok! Dia siap cakap ubat tu akan masuk dalam 30 saat dari sekarang!  Tengah menaip ni pun aku masih rasa debarannya...

Selesai buat ct scan, kena balik ward. Masa ni kena balik sendiri sebab nurse yang hantar dah balik ward dan tak tunggu. Sumpah masa ni aku tak ingat apa nama ward aku. Yang ingat tingkat 4 je. So aku pun redah jelah naik tingkat 4, lepas tu blur kat depan lift. Nasib baik ada nurse keluar dan aku selamba tanya, saya ward mana? Hahaha...mujur nurse tu perasan aku dah check in tadi...malu je masa tu. Sengih-sengih aku jalan masuk bilik. 

Baru duduk kejap, dah kena panggil lagi untuk buat scope. Masuk kamera dalam mulut untuk tengok dalam perut. Yang ni pun seram juga. Part ni aku kena tunggu lama, sampai tertidur-tidur nak menunggu turn. Prosesnya pun sekejap, 30 minit tak sampai.

Nurse akan spray ubat bius kat dalam mulut, tapi dia suruh kemam dulu sehingga diberitahu untuk telan. Bila telan tu, ya Allah...pelbagai rasa ada. Cucuk ubat bius kat tangan, dia kata rileks dan tidur, tak sempat nak tidur, zup zap dah selesai. Terus tolak keluar. Kau rasa....debaran aku pun tak hilang, dah siap!

Dah panjang sangat aku tuliskan, kenalah buat part 1 and part 2 ni. Lama dah tak buat kerja ni...hehehe...sikit lagi aku sambung ya. 

Untuk hari pertama tu, selesai semua procedure. Lepas makan tengahari doktor yang merawat aku tu datang jumpa. Explained semua test yang aku dah buat pagi tu. Cepat kan. Tapi....ada satu masalah pula dahhhh...

Masalah apa tu?? Tekanan darah aku naik sampai 200 lah pula masa buat scope tu.!!! Sis is not happy....terus dia rujuk ke pakar jantung pula. Haduiii...

Malam tu juga doktor pakar jantung datang terjah kat ward. Doktor ni brutal habis. Cakap aku kau! Dia membebel pot pet pot pet, aku dengar ajelah. Tak boleh blah bila dia cakap, 'ko tahu kenapa ramai orang melayu kena strok?' Sebab tak check darah tinggi kat rumah!  Ko beli mesin tu dan check tiap hari. Ko jangan datang jumpa aku tangan kosong!! Esok buat eco...Assalamualaikum...dia keluar gitu aje...Wowww doktor...malam tu juga aku order kat shopee!!

Boleh tahan panjang juga kan aku menulis kali ni. Terima kasih tau datang baca. Youtube channel aku dah subscribed belum?? Keluargayatizul, jangan lupa tekan butang subscribe ya.

Nanti kita sambung part 2 pula ya. 








04 Jun 2020

Hand Sanitizer

Assalamualaikum.

Harini hari yang ke 79 PKP.  Rasa-rasanya lepas ni sambung lagi tak? Tak kisahlah, yang penting kita mesti menang melawan virus covid ni!!

Jadi kita mesti terus kekal duduk rumah. Jangan bergerak kesana kesini. Kalau nak keluar rumah pun atas urusan yang penting sahaja. Keluar rumah jangan lupa pakai penutup muka aka mask tu. Guna hand sanitizer. 

Sekarang negeri selangor kalau pergi mana- mana kena scan qr code kan. Kalau siapa yang tak ada qr code tu kena tulis dekat buku. Pen tu hati-hati. Sebaiknya bawa sendiri dari rumah. Letak dalam handbag. Kita tak tahu siapa yang pegang sebelum kita kan. Kita berhati-hati saja. Kalau nak lebih selamat, guna qr code.

Tapi hand sanitizer tetap benda terpenting yang kena di bawa kemana-mana. Letak dalam handbag 1. Dalam kereta 1. Dekat rumah kena ada juga. Disebabkan pentingnya hand sanitizer ni, jom beli dengan akak hand sanitizer dari ephyra. 
Harga pun tak adalah mahal sangat. Mampu beli sangat tu. 
Yang ni sesuai letak dalam handbag. Bila pergi pasaraya, nak pegang troli, guna hand sanitizer ni dulu. Kan senang, size sesuai untuk bawa ke mana-mana.
Ada tawaran set kombo berbaloi. Jom dapatkan segera. Sebelum kehabisan. 

Terima kasih datang baca. Jangan lupa subscribe youtube channel akak ya, keluargayatizul.


27 Mei 2020

Salam Aidilfitri 2020

Assalamualaikum. 

Sekejap aje selesai sebulan berpuasa kan. Betapa cepatnya masa berlalu. Bulan depan umur aku pun bertambah. Dah nak hampir 50 tau...sapalah pula nak bagi aku hadiah kan kalau dah meningkat usia ni.

Harini pun dah hari keempat kita beraya. Duduk rumah aje ni. Tak ke mana-mana pun. Cuma raya pertama saja aku sempat beraya kerumah ipar duai. Lepas tu duduk bertapa dekat rumah. Sambung PKPB sambung WFH.  Kuih raya pun dah menyusut.  

Pagi raya pertama tu, aku ber'zoom' dengan kakak-kakak dan sepupu sepapat aku. Macam biasa akulah yang arrange dan invite diaorg untuk join zoom dipagi raya. Invite dah hantar awal-awal. Seawal 9 pagi kitaorg dh start zoom. Kiranya sehabis solat sunat aidilfitri tu terus zoom.
Walaupun diaorang ni selalu menyakitkan hati, tapi bila tak dapat beraya bersama tu terasalah juga kesayuannya. Mujur teknologi semakin canggih, dapatlah tengok muka diaorang sambil menunjuk menu pagi raya masing-masing.

Selesai berzoom dengan family aku, kita berzoom pula dengan family en suami. Lepas tu barulah kitaorang berfamily foto pula. 
Walaupun gambar tetap tak ada yang elok rupa parasnya, pasrah ajelah aku.
Ternyata anakanda Danial tidak memberikan kerjasama yang baik. Kita ubah kedudukan dia dengan abang Eimran pula. 
Ehhh...terlelap pula abang Eimran. Siapa yang harus disalahkan...kita tengok gambar yang lain pula.
 Kita cuba senget ke kiri sikit, Danial tetap memberikan post yang sama. Try ambik gmbar diaorang je adik beradik...
 Sama juga...dahlah...jom kita gi beraya jelah. Mak mengalah...tak kuasa nak membuang masa berlama-lama nak ambil gambar. 

Dahlah raya pertama dibenarkan sampai pukul 12 malam je. Selesai ambil gambar tu pun dah dekat pukul 12 tengahari tau.

Terima kasih pada yang masih sudi datang menjenguk blog aku ni. Mohon maaf zahir batin. Maaf kalau ada yang tertunggu-tunggu posting dari aku...hehehe...perasaan sangat kan. Ketahuilah bahawa nak menulis ni bukanlah sesuatu yang mudah. Perlu berikan sepenuh hati untuk memberikan penulisan yang baik.

Macam aku, aku cuba untuk tidak menggunakan bahasa pasar. Ada juga, tapi aku cuba kurangkan. Ok terima kasih sekali lagi.
Salam Aidilfitri maaf zahir batin. 

Psst...korang jangan lupa jenguk juga youtube channel aku ya. 'Keluargayatizul'. Yang penting jangan lupa tekan butang subscribe. Aku budak baru belajar, harap beri tunjukajar ya untuk aku perbaiki lagi youtube channel aku tu. 

Terima kasih

27 April 2020

Cerita Ramadhan 2020

Assalamualaikum.

Salam Ramadhan yang ke 4. Sekejap aje dah masuk hari ke 4 kan. Dan harini juga hari ke 42 PKP.  Ni dah masuk fasa ke 4 PKP. Dapat tak aku nak beraya kat kampung ni??

Alhamdulillah masih diberi kesempatan bertemu dengan ramadhan tahun ini. Walaupun dalam keadaan terkurung. Bersyukur seadanya.

Ramadhan tahun ni memang kena masak-masak kat rumah. Tak ada bazar ramadhan nak diterjah. Sepanjang 3 hari berpuasa ni, kami sekeluarga berbuka biasa-biasa aje. Belum ada menu yang kebabom...hari pertama kami berbuka dengan rendang ayam, masak sehari sebelum puasa. Panaskan aje. Lauk tambahan cencaru bakar cicah cili kicap.  Gambar tx ada. Simple aje di hari pertama.

Hari ke2 berpuasa, kami berbuka denga laksa. Permintaan anakanda yasmin dan qaseh. Lama juga tak buat laksa. Biasa guna sardin tin, kalini en suami guna ikan sardin fresh.   Ehhh en suami ke yang masak?? Hahaha...memang en suami kita yang masak kalau bulan puasa. Kita tolong-tolong aje. Itupun kadang dia tak suka ramai orang kat dapur. Almaklumlah dapur kecil. Memang berlaga montot kalau ramai-ramai...



Dan semalam, kami berbuat cencaru sumbat. Aku buat vietnemese roll. Konon-konon nak dietlah...tapi jujur memang dari hari pertama puasa aku tak makan nasi. Baru sahur tadi makan nasi sebab dah 3 hari juga aku sakit perut lepas berbuka. Jadi aku tak nak ambil risiko...pagi tadi makanlah nasi dengan cencaru sumbat lebih berbuka. 
Ni vietnemese roll aku buat sendiri. Nampak gumuk-gumuk kan...aku letak banyak-banyak sayur. Yasmin tak suka sayur, jadi dia gigit sikit aje, qaseh punya. Cicah sos cili thai je. Buat 10 rolls alhamdulillah sampai sahur.


Sebelum tu aku buat sagu gula melaka ni. Siap-siap buat dari tengahari. Sejukkan dulu. Terbaik.
Hahaha...sendiri buat sendiri puji, dah lama tak buat kerja masuk bakul ni..hihi.

Tu ajelah cerita ramadhan aku kali ni. Terima kasih datang baca. Semoga ramadhan kali ini dapat meningkatkan iman kita dalam beribadah. Selamat berpuasa semua.

17 April 2020

Jemput-jemput dengan Kue Teow Goreng

Assalamualaikum.

Harini hari yang ke berapa PKP? Aku dah tak ingat. Yang pasti dah masuk fasa ke 3. Betul tak?

Serius aku dah tak tahu nak masak apa kat rumah ni. Hahahah...dah memang mak tak pandai masak, ada hati pula nak mengeluh kan...yang simple-simple boleh lah. Jangan lah suruh aku masak nasi kerabu bagai tu...memang tak lah...hahaha...

Petang tadi abang Eimran tiba-tiba minta buatkan welkem-welkem. Nasib baik mak dia cepat pick up. Dia nak yang kosong aje, aku pula yang cakap, mana sedap kalau kosong.

Maka aku pun carilah apa bahan yang ada dalam peti ais. Jumpalah tauge dengan lada merah besar. Yang lain macam biasa, tepung gandum dengan bawang merah. Kali ni aku guna air sejuk. 
Gambar cekodok aka jemput-jemput dari dalam kuali. Kalau nak posing dalam pinggan takut tak sempat je.

Lepas tu bersiap untuk menu berbuka kakak Yasmin pula. Harini dia nak makan kue teow goreng basah. Ok siappp!!

Tu aje yang aku masak harini. Tengahari tadi beli rojak ayam dengan nasi ayam dari Rojak Ayam Sg Kantan. Aku order pagi tadi je, sebab memula ingat nak masak, sekali sibuk pula menguruskan order dendeng dengan kuah kacang, maka order jelah. Memang rezeki kitaoranglah sebab masih ada extra tadi.

Sapa lagi nak order dendeng dengan kuah kacang, cepat-cepat order tau. Semalam aje habis 200 paket dendeng dalam masa 2 jam. 

Ok. Terima kasih datang baca. Jangan merayap kat luar tau. Duduk rumah supaya virus covid ni tak merebak lagi. Aku nak balik raya kat kampung tau. #dudukrumah #kitajagakita


15 April 2020

Daging dendeng sedap dan kuah kacang segera


Assalamualaikum.

Dah asyik membeli aje kan, sekarang masa untuk mak menjual pula ya anak-anak. Apa benda yang mak jual tu...ni daging dendeng sedap tak tipu. 

Aku dah cuba semalam. Serius sedap. Dia dalam plastic frozen. Panaskan aje. Ini product keluaran wanys. Jadi memang 100% produk muslim. Di yakini halal. Berat daging dendeng ni 500gram. Harga rm39 tak masuk pos.
Jelas ya. Kalau nak kena cepat sebab produk ni limited. Keluar masa nak puasa aje.  Jadi jangan lepaskan peluang. 

Aku tahu manusia normal memang suka tanya bila benda dah habis. Jangan macam tu, nanti buat aku rasa kasihan kat korang. Jangan tau. Order sekarang.

Lagi satu product yang limited keluar time puasa ni kuah kacang segera.
 Aku dah cuba yang ni juga. Senang sangat . Just campurkan dengan air panas, siappp!


 Malam tadi juga aku rebus nasi impit. Sahur pagi tadi aku dengan Yasmin makan ni aje. 
Yang lain makan masa sarapan. Semua kata sedap.

Ehhhh...kuah kacang ni bukan makan dengan nasi impit saja ya. Boleh makan dengan pecal juga. Jadi bolehlah beli untuk makan pecal masa berbuka nanti. Puasa minggu depan aje.

Ok itu aje barang jualan akak buat masa ni. Jom cuba, tak menyesal beli tapi menyesal tak beli.

Terima kasih datang baca.



13 April 2020

Sambal ayam pedas ala-ala korea

Assalamualaikum.

Nampak tak kerajinan aku ni? Kenalah rajin update sebab ada yang rindu nak baca blog aku kan...i is perasan.. 

Ni lauk tengahari ni. Merajinkan diri masak sambal ayam ala-ala korea. Ala-ala je. Nak pergi Korea memang tak lah kan. Resepi cari dekat IG tadi. Aku dengan yasmin mencari yang paling senang dan penggunaan bahan yang paling minimum.


Kalau ikut aku, rupa ada tapi rasa ke laut. Jujurnya memang tak pernah rasa pun ayam korea, jadi tak boleh nak bandingkan rasa yang aku buat dengan yang chef kat ig buat.  So pandai-pandai sendirilah agak rasa macam mana.

Tapi simpan sini jugalah bahan2nya :

Aku guna bahagian kepak ayam lepas tu potong dua. Jadi dapat banyak.
Lepas cuci bersih, ayam aku lumur dengan garam dan bawang putih yg ditumbuk.
Kemudian dalam mangkuk lain, masukkan tepung goreng(apa pun boleh) + dengan tepung jagung. Goreng garing.

Untuk sos pedas tu aku campurkan sos tiram, sos cili, lada boh dan sos korea adabi. Gaul dulu baru campak masuk kuali. Agak2 dah masak masukkan bijan pula. Kacau bagi semua mesra dalam kuali baru masukkan ayam goreng tadi.

Gaul lagi bagi semua ayam mesra dengan sos pedas tu. Tapi tak lah pedas mana pun. Jangan lupa rasalah...cukup ke pedas atau manis sambal tu. Baru makan dengan nasi panas. 
Nak makan jangan lupa baca bismillah.

Tu aje yang aku masak harini. Terima kasih datang baca. Cuba jangan tak cuba resepi ala-ala korea ni. 

Atas Talian

Assalamualaikum.

Musim-musim PKP ni, walaupun tak boleh keluar bukan masalah besar bagi anak-anak aku. Dengan kecanggihan yang ada, semua dihujung jari. Senang betul hidup memasing.

Sungguhlah sejak PKP ni boleh katakan hari-hari ada aje orang duk bagi salam kat pagar hantar barang. Hari Ahad pun ada penghantaran okey!

Kalau shopee tu sehari tak jenguk tak sah. Yang ini aku mengakulah, aku pun sama terjebak. Gemar membeli barang yang murah-murah je. Setakat ni tx ada lagi yang lebih dari RM10.

Selain kat shopee, aku beli juga set lunch untuk diaorang. Terutama kalau aku puasa. Tak berapa nak rajin masak lunch. Jadi aku siap- siap order sehari sebelum. Dah confirm bayaran semua, masukkan duit dalam sampul duit raya atau plastik, tunggu je order sampai. Senangkan. Janji siapkan duit!

Haritu teringin nak minum cendol, cari kat FB taman aku ni, zasss sampai cendol raja padu. Hari biasa aku selalu beli dekat area Prima Saujana. PKP ni diaorang jual online. Terbaik cendol ni.

Ni set lunch yang aku order minggu lepas. Juga dari group FB taman aku ni. Ada 3 jenis lauk. Daging masak itam, ayam rendang dan ayam masak merah. Daging masak itam dia sedap, walaupun aku makan untuk berbuka masa tu. Terbaik juga! 

Kawan aku post kat dalam grup gang office. Aku terus watsapp sebab nak rasa. Rupa sama dengan yang kakak aku masak. Rasa dia kalau aku tambah lagi tempoyak, memang confirm sama. Qaseh pun cakap yang sama. Harga RM10 untuk 200g. Tapi cukup untuk 3 ke 4 orang makan. Ni penghantaran melalui grab. Harga grab boleh dapat lagi satu pack...hehehe

Ni yang paling ditunggu-tunggu. Aiskrim Malaysia!! Ni pun sama dapat contact dari group FB taman aku. Baguskan grup FB taman aku ni. Macam-macam ada...

Yang tak ada dalam gambar sebab tak sempat nak posing, set breakfast. Yang breakfast ni sebab ada sambal paru dengan lontong tu aku order. Tapi sedih sikit sebab lambat delivery. Mungkin banyak order tu yang sampai kat aku lambat. Kecewa disitu sikitlah.

Hahhh senangkan beli online ni. Ko siapkan wang aje. Tak ada wang, makan sardine.

Terima kasih datang baca. 

12 April 2020

Borak-borak kosong

Assalamualaikum.

Haritu kan semangat lagi aku nak update blog, tapi tetap ke laut dalam juga. Vitamin 'M' banyak sangat. Tapi harini ku gagah kan jua nak menulis sikit. Tak ada apa yang menarik pun, 
asyiklah duk tunjuk gambar makan-makan. 
Kat IG pun tetiba banyak pula gambar makanan. 

Sungguh aku tak tahu dah harini hari yang ke berapa PKP ni. Tapi tahu kena sambung lagi 2 minggu. Sedih tu memanglah sedih tapi demi keselamatan semua, bertabahlah kan.

Semalam aku terajin pula buat pisang goreng. Gila lama tak buat. Pisang tu pun sebab dah salah beli. Haritu beli nak buat pengat pisang tapi en suami kata salah pisang...pisang yang aku beli tu sesuai untuk goreng.

Ni bukti aku yang goreng. Cicah sambal kicap. Habis juga.

Lepas tu en suami ajak gi pasaraya CS dekat je dengan rumah. Sebenarnya pagi tu dah pergi, tengok orang beratur panjang, kami pergi tesco.
Sama juga. Malahan lagi panjang. En suami ajak balik suruh datang petang.
Ni kat pasaraya CS. Beratur lama, sekali bila masuk dalam suruh beli dalam masa 30 minit. Asyik duk buat announcement suh cepat-cepat. Aku rasa macam masuk program supermarket sweep je. 

Aku mencari essence vanilla dari minggu lepas tak ada. Kat CS ni pun tak ada. Singgah speedmart, kedai aceh kat rumah semua tak ada. Musim PKP ni ramai orang duduk rumah buat kuihkan, tu yang habis essence vanilla.

Ni tempe goreng ciliapi aku buat hari apa tak ingat dah. Resepi legend ni. Senang sangat. 
Ciliapi tumbuk kasar dengan bawang merah dan bawang putih. Lepas tu campak masuk kuali. Sebelum tu tempe goreng dulu dengan kunyit dan garam.  Dah masak ciliapi tu, perasakan dengan gula sikit. Aku tak letak garam sebab dah letak kat tempe. Agak dah sejuk sikit, baru temukan tempe dan ciliapi dalam kuali. Biar mereka mesra bersama. Ohh lupa...bawang besar dilupa jangan.

Oklah...terima kasih datang baca. Jangan lupa try test tempe ciliapi tu ya. 


01 April 2020

TB: Yasmin admitted

Assalamualaikum.

Aku nak buat sikit 'baling belakang' sebab tengah rajin dan banyak masa ni kan. Kisah berlaku ramadhan tahun 2019. Kiranya hampir setahun jugalah ni. Saja nak simpan dekat sini.

Yasmin kan duduk asrama, jadi bila ustazah dia call pagi-pagi(tak lah pagi sangat) mestilah mak is debar-debar kan. Terus jawab. Rupanya dia sendiri yang called suruh datang ambil sebab dia sakit tekak. Lajulah mak dia half day emergency. Demi anaklah katakan. 

Tapi sebelum gerak ambil Yasmin, kenalah ambil yang dua ketul ni. Mana boleh tinggal. Lagipun buat peneman mak. Ok jom gerak ambil kakak...
Sebelum pergi hospital, kami dah pergi Klinik Kita dulu. Sampai habis ubat, tak baik juga baru pergi hospital.  Tengok gambar tu pun tahu dah Yasmin sangat sangat takut. Bukan sikit-sikit punya takut. 

Masa admitted tu, kitaorang pergi lepas subuh. Sebab memang doktor suruh datang pagi. 

Masa ni aku dengan Qaseh yang menunggu dekat luar bilik operation. Sempatlah mak selayang dua. Tak ada orang, sejuk sangat. Lagipun masa tu bulan puasa, bertambah-tambah sejuknya. Dekat 2 jam jugalah menunggu.

Bila habis operation, Yasmin menangis sebab sedar-sedar tak ada muka mak dia. Dia terus nak bangun macam orang mengelabah tu. Terus sakit kepala pula. Nasib baik ada nurse yang tolong tenang kan dia. 

Kenalah bermalam 1 malam kat hospital. Akulah dengan Qaseh yang teman kan. Jadinya, yang lelaki tinggal kat rumah berbuka dengan ayah diaorang. Sahur semua terlajak perahu...

Ni gambar bulan December lepas masa checked gigi. Yasmin juga yang takut. Dia punya takut tu, masa tengah tunggu dia genggam tangan aku punyalah kuat...tengok dia genggam tangan sendiri pun tahu dia tengah takut kan..

Masa kecil pernah juga bawa pergi klinik gigi ni, dia punya meraung tahap boleh dengar sampai keluar klinik. Ingat masa kecil je, membawa pula sampai ke besar. Mujurlah gigi dia elok tak ada masalah. Selamat lah dia.

Terima kasih datang baca. Cerita lama pasal Yasmin. Tunggu cerita lain pula ya. 



Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Assalamualaikum.

Apa khabar?  Lama betul tak menulis kat blog kesayangan aku ni. Tapi sementara tengah kena PKP ni, harapnya aku rajinlah mengupdate aktiviti aku dan keluarga kat sini ya. Doakan lah ya. 

Untuk permulaan PKP ni, masing-masing rajin sangat masak-masak kan. Termasuklah ahkak.
Jom tengok tahap kerajinan ahkak berada diskala berapa. 


Ni menu awal-awal PKP haritu.  Sebab aku yang teringin sangat nak makan mee goreng, semua isi rumah kenalah ikut selera chef yang masak.
Ni pula kudap-kudapan minum petang membawa ke malam. Sebenarnya aku nak habiskan stok mee siput ni. Dah lama sangat dalam simpanan. Rasanya dari tahun lepas punya stok ni. Bila dah goreng, lajulah habisnya. Nak kena tunggu habis PKP ni, baru aku boleh restok mee siput ni.
Baru beberapa hari duduk rumah dah tx tahu nak masak apa kan...ni pun gara-gara nak mencuba kuah perapan black pepper beli dengan kawan ofis aku. Kuah tu sebenarnya untuk perap kambing tapi boleh aje kalau nak perap ayam juga. Sebab semua anak-anak ada dekat rumah, buatlah ayam bakar black pepper tu. Sedap. Aku rekomen siapa nak cuba. 
Masakkan maggi kari ni dah malam. Aku dah nak tidur. Aku guna perencah kari ikan tambah dengan 1 je rempah maggi. Yang lain tu apa aje yang ada dalam peti ais. Dua kali dah masak maggi kari macam ni. Selesai.
Disebabkan Yasmin ada ajak pergi family mart haritu sebab nak makan oden ni, jadi mak dia buatlah kat rumah. Nak pergi family mart tak boleh kan. Nanti tx pasal kena tahan dengan polis. Makan je yang mak masak ya nak.
Nasi goreng sap sap soi ni entah hari ke berapa tak ingat dah. Sarapan pagi. 
Dalgona coffee tu ada buat tapi tak ada ambil gambar. Dalgona milo pun ada buat. Ni semua atas kerajinan Yasmin dan Qaseh. Diaorang yang rajin nak menggodak nescafe dengan milo tu, dah siap terus suruh aku minum. Tak sempat nak posing-posing dulu. Tapi yang atas tu, en suami yang buat. Mangga float. 
Ni menu berbuka puasa masa 1 Syaaban hari tu. Kari kepala ikan merah. Ni pun air tangan en suami. 
Ni onde-onde menu masa berbuka juga. Perisa mangga dan ros. Idea en suami lagi.
Sambal telur pecah ni ahkak yang buat. Untuk anak-anak yang tak puasa. Nak makan sedap kena tunggu ayah diaorang masak masa berbuka. Kalau mak masak, yang ringkas-ringkas tapi sedap. Eehhh...sedap ke??
Menu berbuka harini. Bukanlah makan bubur pulut hitam semata, ni pemanis mulut je. Diaorang makan ni dulu, lepas tu terus solat maghrib. Maghrib sekarangkan pendek masanya tu yang suruh makan bubur dulu.
Menu utama harini ayam masak black pepper. Tak ada gambar. Menu tu atas permintaan Qaseh. Walaupun budak kecil tu tak puasa harini, tapi menu ikut pilihan tekak dia. 

Wahhh banyak juga ya dah masak bersama dengan en suami....hahahha..kena kredit nama dia juga. Tunggu esok menu apa pula.

Terima kasih datang baca. Jangan lupa ikut arahan polis dan kerajaan ya. Duduk rumah.
#kitajagakita

Related Posts with Thumbnails